Harapan setinggi langit, tapi tiada sayap~

Pernahkah anda kecewa dalam kehidupan? Atau mendapat sesuatu yang tidak anda harapkan? Mari sama-sama kita baca entry kali ini.

Setelah bertemu dengan pelbagai ragam manusia, kadang-kadang saya terjumpa dengan orang yang harapannya sentiasa tinggi melangit. Nun jauh ke sana. Tinggi betul.


Harapan yang terlalu tinggi membuatkannya sentiasa menginginkan yang terbaik untuk dirinya. Ia meletakkan kriteria-kriteria yang tertentu untuk keselesaannya, demi menjalani kehidupan yang sempurna. Baginya itu sangat penting, sebagai satu fokus dan target agar kita hidup terpandu dan mempunyai matlamat yang khusus. Contohnya, seorang pelajar yang akan menyambung pelajaran ke sebuah negara asing. Ia terlalu mengharapkan kehidupan yang baik-baik belaka. Rumah sewa 'air-cond', makan steak tiap hari, ada kereta dan sebagainya...

Ataupun contoh yang lebih dekat, terlalu mengimpikan teman hidup yang sempurna. Harapan tinggi itu adakalanya bukan sekadar keinginan, tetapi satu kemestian baginya. Satu keperluan. Lalu ia pun mulalah berangan-angan mengimpikan sesuatu yang belum pasti. Tersenyum seorang diri, kadangkala ketawa kecil. Isk, seram betul tengok orang macam ni!

Lalu masa terus berjalan membuktikan semua impian itu satu ilusi, mimpi di siang hari. Permata yang diharapkan, batu kotor pula dimiliki. Kemudian orang sebegini pun mula kecewa dengan diri sendiri. Kekecewaan yang membawanya satu aura hitam dalam siri-siri kehidupan yang akan datang. Harinya penuh dengan kebencian, salah-menyalahkan serta tidak keruan. Kasihan...kasihan..

Teori kehidupan ini mengajar saya tentang sesuatu -yang ingin saya kongsikan hari ini- iaitu tentang sikap kita terlalu memilih dan meninggikan kriteria-kriteria tertentu dalam semua aspek. Ia akan menjadi satu halangan untuk mendapatkan satu kehidupan yang luas dan bebas merdeka serta bahagia.

Saya ingin mengambil contoh mudah, agar cepat difahami, -seorang lelaki yang terlalu meninggikan kriteria calon isterinya. Ia mengharapkan seorang perempuan cantik yang solehah, hidung mancung, mata biru, betis macam buting padi, leher jinjang, pinggang macam kerengga (haha). Cop, belum habis... bijak, pandai, cermat, mempunyai Phd, muda dan berbagai lagi.(tak reti nak tulis apa lagi).

Lalu ia telah menyusahkan dirinya untuk mendapat teman sesempurna itu. Bujanglah ia sehingga umur menjangkau 40an. Saya teringat satu kata-kata, jangan impikan teman sebaik Khadijah andai diri tidak sesempurna Muhammad. Tapi kawan kita seorang ini, mengimpikan teman lebih sempurna daripada Khadijah sedangkan dirinya jauh daripada peribadi Muhammad. Akhirnya, ia pun menghadapi kesukaran mendapatkan isteri terbaik, kerana hakikatnya.. tiada manusia sesempurna itu!

Hamster ni tengah gembira


Sekiranya kita lihat dari aspek kehidupan yang lebih luas, maka kita akan nampak solusi untuk segala kekecewaan. Jalanilah kehidupan ini seadanya, bergembiralah dengan apa yang menjadi milikmu. Kebahagiaan yang sebenar adalah apabila kita bergembira dengan apa yang telah ada di genggaman kita, biarpun ia tidaklah secantik kepunyaan orang. Berhentilah daripada merungut dan membanding-banding sesuatu kerana ia hanya kunci kepada kemurungan.

Berbahagialah wahai sahabatku, walau kita hanya mempunyai kehidupan yang sederhana. Tanamlah sifat qana'ah(berasa cukup) dalam hati, nescaya ia akan menumbuhkan pohon-pohon bahagia yang akan menjadi taman syurga. Berhentilah daripada mengharapkan awanan indah di atas sana kerana hakikatnya kita hanya manusia yang tidak mempunyai sayap.


Jangan tiru aksi ini

Ingat tau, jangan cuba untuk terbang... kita tak ada sayap.

Wednesday, 2 December 2009

Sepatu Yang Berdarah


(Sajak ini telah saya sampaikan ketika Jamuan Raya Aidil Adha PERUBATAN. Sound system tidak begitu baik, jadi suara tidak jelas)



Sepatu Yang Berdarah

Ribut pasir menyesakkan nafas
Kepanasan bumi menusuk tulang
Angin kasar mengeringkan keringat
Memori sirah silam
Melakar sejarah di gurun tandus

Tanah ini pernah menjadi saksi
Makna cinta sejati tidak bertepi
Kasih demi ilahi
Tatkala mata pisau bersinar tajam di leher Ismail
Ibrahim membenarkan mimpi
Kerana cinta kibas menjadi ganti
Melakar sejarah keimanan hakiki

Bumi ini pernah menjadi saksi
Erti pengorbanan menembusi makna insani
Ketika air lemak Khabab Bin A'rad memadamkan api
Dipanggang atas neraka dunia
Apa engkau mengerti tentang jasadnya yang dipanggang api?
Tatkala asyik dengan lunaknya suara seorang kekasih
Apa engkau tahu tentang kepalanya yang dituang besi cair merah kepanasan?
Menggelupur sekujur tubuh
Bergetar tangannya
Tersekat nafasnya
Hitam kulit mukanya

Engkau berkata tentang cinta sejati...
Yang dilafaz dengan nada menggoda penuh nafsu
Engkau berkata tentang pengorbanan hakiki...
Ketika bosan dengan kekasih yang ingin diganti

Langit ini tersenyum sinis
Bumi ini juga tertawa
Menyaksikan kemunafikan yang disulam kebaikan
Pembohong!
Penipu!
Bergema suaranya memenuhi alam
Namun engkau dipekakkan oleh karat dosa

Usah engkau berkata tentang perjuangan
Andai hatimu kosong daripada solat malam dan Quran
Usah engkau berbicara tentang cinta
Andai jiwamu kosong daripada iman dan taqwa

Masih ingatkah engkau kisah ini?
Di padang pasir
Lelaki itu terus melangkah
Dalam kepanasan
Dalam kesedihan
Dalam kesabaran
Mengenang Taif yang menghalau kebenaran

Desiran pasir mengingatkannya
Tentang kematian isteri dan bapa saudara tercinta
hatinya menderita kesedihan
Ditambah pula lontaran batu tajam
Darah merah mengalir
Bertakung dalam sepatu

Dia meneruskan langkah dengan pasrah
Utusan Allah tiba, malaikat langit menawar kekuatan
Jawab lelaki itu, "Tidak mengapa, semoga Allah mengeluarkannya kepada cahaya"
Musafir diteruskan dengan sepatu berdarah
Tiba di Wadi Nakhlah, tuhan membuktikan
Andai seluruh manusia kafir, jin masih beriman

Sepatu merah itu menjadi saksi tentang cinta sejati
Pengorbanan seorang nabi
Ketika Izrail di sisi
"Ummati...Ummati...Ummati..."
Dan akhirnya kini
Umat itu sendiri melupakan pesan nabi

Marilah pulang kepada tuhan
Takbir raya bergema lagi
Memanggilmu kepada sejadah
Air mata taubat di malam hari
kalimah quran menenangkan hati
Ayuh kembali, kita kembali
Sebelum sepatu berdarah itu menjadi saksi






Saturday, 28 November 2009

Wahai pemuda islam, dengarlah...


Wahai pemuda, sesungguhnya fikrah akan berjaya apabila terdapat kepercayaan yang kuat kepadanya, ikhlas kepada jalannya, dan semakin bersemangat kepadanya. Juga terdapat persediaan yang membawa pengorbanan dan amal untuk merealisasikannya.

Terdapat 4 rukun yang utama - iman, ikhlas, semangat dan amal - khusus hanya daripada pemuda. Asas keimanan adalah hati yang suci. Asas keikhlasan adalah jiwa yang tulen. Asas semangat adalah sensitiviti/perasaan yang kuat. Dan asas amal adalah azam yang tinggi. Semua ini tidak terdapat melainkan pada seorang pemuda.

Oleh itu, pemuda adalah tulang belakang bagi sesebuah umat dan rahsia kekuatannya bagi setiap kebangkitan. Dan bagi setiap fikrah, pemuda adalah pembawa panji2nya.

"Merekalah pemuda yang beriman kepada tuhannya dan kami tambahkan hidayah kepada mereka "(Quran)

Janganlah berputus asa, sesungguhnya berputus asa bukan dari akhlak kaum muslimin. Hakikat hari ini adalah mimpi hari semalam. Dan mimpi hari ini adalah hakikat masa depan. Dan susungguhnya masa tidak banyak. Juga tidak terdapat kekuatan yang hebat pada kaum muslimin, serta berleluasanya kefasadan secara terang-terangan. Yang lemah tidak selamanya lemah. Yang kuat tidak selamanya kuat.

Dan kami berharap dapat memberi keamanan kepada kaum yang lemah di muka bumi, juga menjadikan mereka hebat dan mewarisi dunia.

Sesungguhnya peluang untuk beramal sangat banyak. Dan seluruh alam menunggu-nunggu dakwah kamu. Dakwah yang tulen, berjaya dan murni - untuk menyebuhkannya dari segala kesakitan.

Tugas kamu semua adalah memimpin seluruh umat dan bangsa. Beginilah hari-hari yang akan menjadikannya bertukar-ganti antara manusia(kamu akan memimpin). Dan kamu mengharapkan daripada Allah apa yang tidak mereka ingin.

Maka bersiap sedialah wahai pemuda! Maka beramallah hari ini, sesungguhnya esok itu terlalu lewat.

-Imam syahid Hassan Al-banna-

(Maaf sekiranya terdapat kekurangan dalam terjemahan ini, sila betulkan jika saya tersilap)


Mendengar kata-kata yang bernada yakin dan pasti dengan kemenangan islam ini membuatkan kita berfikir; "apakah peranan kita?". Sesungguhnya ramai di kalangan pemuda islam masih lena dibuai mimpi yang berpanjangan. Setelah dialun dengan nyanyian-nyanyian nafsu yang merosakkan dan hiburan yang melalaikan, umat islam dibentuk agar lemah jiwanya. Ibarat singa yang menyangka dirinya kambing yang lemah.

Didikan yang diterap oleh musuh islam menjadikan sifat 'ananiah' atau pentingkan diri sendiri sebagai acuan. Mereka menginginkan pemuda islam hanya memikirkan dirinya sendiri, perutnya sendiri, tekaknya sendiri, rumahnya sendiri, poketnya sendiri dan matinya sendiri. Dan terapan ini kelihatan telah berhasil apabila melihat kepada pemuda islam sekarang. Biarpun mereka kelihatan 'professional' pada luaran, namun apabila diajak kepada kebaikan, tiba-tiba berkerut dahinya.

Sungguh, hati kita telah diselaputi oleh kesenangan dan cinta duniawi, lantas kita tidak merasakan pentingnya beramal untuk islam. Malah ada yang memandang sinis kepada dakwah. Belajar... belajar... dan belajar... itulah tugas seorang mahasiswa atau mahasiswi. Setelah berjaya, ia hidup dalam dunianya sendiri, tanpa memikirkan umat islam yang semakin ditindas.

"Cukuplah aku solat berjemaah di masjid, pakai kopiah dan baca quran.." Seandainya ini adalah cukup bagi seorang pemuda islam, nescaya Salahuddin Al-Ayubi hanya duduk di masjid bertasbih dan bertahmid. Semata-mata. Bahkan Salahuddin Al-Ayubi sentiasa berusaha menyatukan umat, mendidik generasi pemuda beriman dan menerap kefahaman islam yang syumul kepada umat islam. Sehingga apabila ditanya mengapa dia jarang senyum dan bergembira, lalu ia menjawab, "Bagaimana mungkin aku bergembira sedangkan Palestin masih dijajah kaum kafir".

Ketepikanlah isu-isu remeh tentang 'perpaduan' di bawah satu bendera, kepelbagaian jemaah
dan sebagainya. Sungguh, ianya tidak membawa secebis pun kebaikan melainkan caci-maki, kata-mengata, hentam-menghentam dan benci-membenci. Sifat ini melemahkan jiwa dan kaum yang lemah tidak mungkin memikul sesuatu yang besar(islam). Berhentilah dari mempersoal kerja orang lain sebelum hujah kita sendiri memanah dada sendiri ketika pulang ke Malaysia nanti. Percayalah, fokus kita lebih besar berbanding menjatuhkan kaum islam.

"Sesungguhnya islam itu hebat, ia tidak akan dipikul melainkan orang-orang hebat, maka jadilah orang-orang yang hebat" -Muhannad Tahir, jurutera bridget alqassam-


Wednesday, 25 November 2009

Jemputan Khas untuk semua Pelajar Perubatan Mesir

Sila klik untuk lebih jelas

Saturday, 21 November 2009

Roadshow Aman Palestin

Sila klik untuk lebih jelas



Buat seluruh Warga lembah Sungai Nil,

Jangan lepaskan peluang untuk memahami dan menghayati isu Palestin dengan lebih mendalam.

Dijemput semua hadir ke program Roadshow Aman Palestin 2009 yang akan disampaikan oleh tokoh-tokoh yang pakar dalam isu Palestin, Dr Zainurrasyid dan Mejar Nazri. Juga terdapat peluang terhad untuk mengikuti "Training of trainer (TOT)" untuk latihan sebagai penggerak isu Palestin.

(Kaherah)
Tempat : Dewan Malaysia Abbasiah, kaherah (DMAK)
Tarikh : 19 November 2009
Masa : 5.00 pm - 10.30 pm


Juga menampilkan persembahan nasyid, pentomen dan sajak yang akan memberi satu kelainan dan membakar semangat berkorban untuk umat islam.

Jangan lepaskan peluang!






Saturday, 14 November 2009

20 Tahun Di Dunia

20 tahun telah saya hidup di dunia. 31 Oktober yang lalu adalah hari lahir saya. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada ahli keluarga, sahabat dan sesiapa sahaja yang menghadiahkan ucapan 'hari jadi'. Saya akan ingat sampai bila-bila. Dan semoga Allah merahmati dan sentiasa 'mengingati' kalian sebagaimana kalian mengingati saya. Allahumma amin.


Sedar atau tidak, telah 3 tahun saya berada di Mesir. Dan dunia ini telah mengajar berbagai-bagai ilmu kehidupan yang sukar saya katakan dalam ruangan tulisan ini. Sejak pertama kali saya menjejakkan kaki di mesir, terlalu banyak pengalaman berharga dan permata indah yang dikutip di sini. Sekiranya ditanya tentang Mesir, maka saya katakan ia adalah guru terbaik dalam kehidupan ini.

Mesir mengajar erti kesusahan, erti kepenatan dan erti berdikari. Walaupun ia tidaklah seindah negara tanah air di sana, namun 'keburukan' itulah yang mengajar saya makna bersyukur dan bersabar. Memang benar kata orang, kita tidak boleh selamanya selesa, nanti terlupa. Adakalanya kesusahan dan dugaan itulah yang menyerikan kehidupan kita, ibarat langit kelam hujan yang merindukan kita kepada indah terik mentari pagi. Terlalu sukar digambar dengan kata, cukuplah saya menunjukkan kilauan cahaya yang bersinar-sinar di sini melalui siri-siri dalam kehidupan realiti.

Mungkin kepada sesiapa yang mengenali saya di Mesir mengetahui betapa 'terpencilnya' hidup saya berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Saya merupakan satu-satunya pelajar Melayu lelaki di dalam ribuan manusia berdarah Arab. Ya, saya seorang sahaja. Mengimbau kembali pengalaman 'pahit' tahun pertama saya di kuliah yang teramat asing dan menakutkan. Tatkala kita tidak tahu ke mana membawa diri, tidak tahu mana dewan kuliah. Dan ketika duduk berjam-jam di dewan kuliah tanpa sepatah perkataan difahami. Juga terlalu merasa 'inferior' apabila dikerumuni pelajar Arab yang bertanyakan soalan sehingga hilang kemampuan menjawabnya.

Rakan sekuliah saya

Ketika itu, saya hilang keyakinan diri. Takut menghadapi realiti. Mungkin saya orang pertama yang diuji sebegini, kerana walaupun masih ada senior-senior yang seperti saya (menyertai kumpulan Arab), tetapi mereka semua tidak keseorangan seperti saya. Pasti ada juga kawan Melayu bersama. Dan pernah hampir-hampir saya menyalahkan takdir. Namun semua kesusahan itu mengajar saya erti berdikari.

Dan kini semua itu bukan masalah lagi. Bahasa Arab bukan bahasa asing lagi. Tetapi ia merupakan satu kelebihan berbanding yang lain. Sepanjang kehidupan saya bersama bangsa Arab di kuliah yang berasal dari pelbagai negara dan warna; Mesir, Yaman, Sudan, Saudi Arabia, Palestin, Iraq, Syiria, Erithria malah Somalia - semua ini menjelaskan saya manusia yang pelbagai peribadi dan identiti. Sekiranya kita lihat orang mesir yang begitu kasar ketika bergurau, tidak pula bagi bangsa Yaman yang seolah-olah "Melayu". Cara bercakap, bersalam, berjumpa dan bergurau adalah seolah-olah bukan 'Arab' yang kita lihat di sekeliling kita. Begitu juga bangsa Syiria yang sangat kacak dan cantik, cara pergaulan mereka menyebabkan kita berasa selesa.
Ibrahim + Ahmad (Misr) + Hazim

Sekiranya anda lihat keburukan kepada seseorang, maka jangan samakan ia dengan keburukan bangsanya. Kerana pengalaman telah mengajar saya, terlalu ramai kaum Arab yang akhlaknya terpuji, walaupun terdapat di kalangan mereka yang terlalu menyakitkan hati. Pernah saya mendengar keluhan seorang rakan saya yang marah dengan perlakuan arab, "Ah, memang dasar Arab.." Bagi saya pernyataan ini tidak tepat, kerana kesalahan seorang tidak boleh dilabel sebagai kesalahan komuniti.

Juga sebagai pemuda yang berumur 20-an, kita seharusnya menjadi lebih 'independent' dan tidak bergantung kepada sesiapa lagi, khususnya ibu bapa. Ajarlah diri untuk hidup berdikari kerana ia merupakan asas kematangan dalam menuju kedewasaan. Sekiranya kini masih lagi meminta duit ibu bapa kerana mahu 'top up' atau pergi membeli belah, kita masih belum benar-benar 'remaja'. Berdirilah pada kaki sendiri, bergantunglah pada diri untuk mencapai sesuatu. Bukan bermakna kita sombong terhadap ahli keluarga, tetapi sikap suka bergantung hanya melewatkan prosos kematangan dan menjadikan diri kita keanak-anakan.

20 tahun hidup di dunia.

Semakin bertambah usia.

Semakin bertambah beban digalas.

Semakin menghampiri waktu kematian.

Juga makin hampir menamatkan waktu bujang.


Monday, 2 November 2009

Sombong dalam Keimanan

Tulisan saya kali ini adalah kesinambungan daripada post saya yang lalu;


"Antara Self-Esteem dan Ujub" dan "Kita Tidaklah Sehebat Mana", tetapi kali ini saya akan membincangkan tentang sifat sombong dalam keimanan. Mungkin agak lebih khusus bagi para da'ie dan mereka yang mengaku pejuang islam.

Sebelum saya teruskan, ingin diingatkan bahawa tulisan ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana organisasi, jemaah, kumpulan mahupun individu. Cuma sekadar pemerhatian saya berdasarkan pengalaman dan secebis ilmu yang ingin saya kongsikan bersama.

Bismillahirrahmanirrahim.

Kelebihan, kejayaan, kekuatan dan kemahiran yang Allah kurniakan adakalanya tidak mendatangkan kebaikan kepada kita. Malah keburukan datang bertandang siang dan malam, lantaran hati semakin alpa, jiwa semakin lupa kepada tugasan utama. Dalam langkah seorang pendakwah yang dihiasi dengan pohon kebaikan, adakalanya masih tidak dapat mengelak daripada duri halus yang menusuk daging; sombong.

Seorang pendakwah adalah insan yang paling mulia kerana menyahut seruan ilahi,

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim". (Fussilat, 33)

Mulia kerana islam dan iman. Namun kemuliaan itu masih belum menjamin kita menjadi sempurna. Oleh itu kita hanya orang biasa, yang ada silap dan salahnya, ada baik dan buruknya. Maka dengan itu, seorang dai'e perlu sentiasa berwaspada dengan penyakit hati. Kerana hakikatnya kita tiada apa.

Dalam kesibukan ia menyeru kepada keimanan, dan keletihan ia mengajak kepada kebaikan, adakalanya ia terlupa diri sendiri. Tiga hari menganjurkan program islam tanpa sehelai quran dibacanya. Langkah penuh bersemangat sehingga mencucurkan keringat, namun terlupa zikir dan ma'tsurat.

Maka ini semua adalah adalah usaha syaitan untuk melupakan dai'e daripada tugasannya. Sedikit demi sedikit, ia merasakan dirinya hebat dalam berucap. Petah berkata-kata, sehingga semua manusia menjadi baik kerananya. Ataupun dirinya seorang perancang dan ketua yang tiada tara bandingnya, dialah yang paling layak. Kerana jasa dan kehebatannya dalam memimpin, maka tidak ada sesiapa yang boleh menggantikannya.

Adakalanya pula, para dai'e merasakan diri sudah layak digelar murabbi. Melihat jemaahnya yang 'lambat', maka dia segera berdiri dan lantang bersuara. Menggegar pentas amal dan bertanya, "Mengapa kita terlalu lambat? Apakah tiada lagi daya juangmu?". Dan dalam keyakinan ia membawa langkah sendiri, dan mungkin bersama rakan sefikiran. Hebat sungguh gerakannya, jiwa panas muda membakar semangat jihad. Dan berlarilah ia meninggalkan sahabat seperjuangan dulu, terus ke hadapan tanpa menoleh kebelakang.

Tersirat benih-benih kesombongan dalam ayunan bibir dan gerakan jari-jemari, ketika mengatakan ia paling benar, paling banyak pengalaman. Sehingga memandang masalah da'ie lain adalah sesuatu yang kecil, tidak sepatutnya berlaku. Seolah-olah tiada langsung kekurangan, pedih sungguh kata-katanya. Mungkin semua itu tidak disengajakan, atau disorok-sorokkan namun mata yang membaca mampu mentafsir sesuatu, kerana kita memahami perkara yang sama. Terlupa ia tentang hidup ini amat luas. Mungkin ujian itu tidak pernah dihadapinya kini, tetapi ingat, hidup ini tidak sentiasa sama. Ibarat roda, mungkin suatu hari nanti kita pula berada di bawah.

Kehebatan beramal membuahkan hasil yang bukan sedikit. Maka untuk mengekalkan kuantitinya, mereka berbicara perkara yang sepatutnya tidak perlu dikatakan. Tidak perlu disebut untuk mereka yang masih 'hijau'. Namun ia disebut juga, diheboh-hebohkan agar semua insan tahu bahawa itu salah, tidak tepat, jauh dari manhaj, terpisah dari perhubungan rasmi. Entah benar atau tidak perkara yang diketuinya itu, tidak pasti. Namun cerita itu terus dijaja di sana sini.

Sombong dalam konteks para dai'e amat halus, sehingga hanya boleh dirasai oleh mereka yang berpengalaman dan diberi keizinan tuhan. Sombong itu berbeza sifatnya, jika manusia umum sombong menjauhi kebaikan, namun pendakwah boleh jadi sombong dalam keimanan. Oleh itu berhati-hatilah dalam tiap masa dan saat kerana jarum hasutan syaitan bagi mereka yang berkerja untuk islam lebih halus dan berbisa. Sombong dalam keimanan.

"Maka bukan kamu yang membunuh mereka akan tetapi Allah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar, tetapi Allah yang melempar..." (Al-Anfal, 17)


(Tulisan ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa, cuma ditulis berdasarkan pengalaman sendiri yang cetek agar pembaca dapat mengambil pengajaran. Sekiranya ada yang terasa, saya minta maaf, tidak ada niat mengata yang bukan-bukan. Hanya sekadar teguran dan peringatan bagi kita semua.)



Tuesday, 20 October 2009

 
Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu
Templates Novo Blogger